Sunday, September 22, 2019

BBM3410Satu2019: Etika Penulisan Blog

Assalamualaikum wbt dan salam muhibah,

Saya doakan semoga hari ini anda berada dalam keadaan yang sihat dan ceria selalu. Pada hari ini saya akan berkongsi serba sedikit mengenai etika dalam penulisan blog. Sebelum saya memberi huraian lainjut mengenai etika penulisan blog, adalah lebih baik jika saya memberi definisi mengenai blog itu sendiri. Apa itu blog?. 

      Blog merupakan satu medium dialog antara penulis blog iu sendiri dengan pembaca blog lain dalam menyampaikan sesuatu idea atau hujah sama ada yang baharu atau lama. Setiap perkongsian yang dikongsikan boleh ditulis dalam bentuk formal dan tidak formal kerana ia bergantung kepada penulis blog itu sendiri. Namun begitu, penulisan blog ini tidaklah ditulis dengan sewenang-wenangnya kerana menurut Ferdig & Trammell (2004), penyelidik telah menggariskan panduan bahawa menulis blog hendaklah memenuhi syarat-syarat penulisan.

        Etika penulisan blog yang pertama ialah pemilihan tajuk yang menarik dan boleh menarik perhatian pembaca. Hal ini kerana tajuk merupakan pembuka bicara dalam setiap isi kandungan penulisan. Jika pemilihan tajuk yang menarik, ia mampu menarik ramai pembaca blog lain unuk membaca blog yang ditulis dan jika pemilihan tajuk yang tidak sesuai ia akan berlaku sebaliknya. Pemilihan tajuk penulisan yang digunakan hendaklah berkesinambungan dengan isi kandungan penulisan dan bukannya sewenang-wenang sahaja memilih tajuk yang sama sekali tidak ada kaitan langsung dengan isi kandungan yang mahu diceritakan. Tambahan lagi, cerita yang ditulis hendaklah menarik dan mampu menarik hati pembaca. Cerita yang ditulis hendaklah mampu dibaca dan difahami dan bukannya menulis mengikut suka dan hanya menulis sambil lewa mengikut nafsu penulis sahaja. Penulisan juga bukanlah daripada jenis  yang boleh mencetuskan isu-isu sentisitif atau perkauman. Penulis hendaklah cakna dengan setiap pemilihan kata yang dipilih agar tidak memberi mudarat di kemudian hari. Walaupun blog ini merupakan milik persendirian tetapi segala isu-isu yang sensitif hendaklah dielakkan kerana sebagai kita hidup serumpun hendaklah saling menghormati sensitiviti setiap masyarakat.

            Selain itu, etika penulisan blog yang kedua ialah kekreatifan penulis dalam menghuraikan blog masing-masing. Huraian yang baik dan berkesan mampu menarik minat pembaca blog dalam sesi pembacaan dan ia juga mampu memberi impak yang positif dalam setiap pembacaan pembaca. Huraian yang ringkas tetapi bermakna mampu menyampaikan mesej yang hendak disampai oleh penulis kepada pembaca secara lebih berkesan berbanding huraian yang panjang berjela tetapi tidak mampu menyampaikan mesej kepada pembaca. Oleh hal yang demikian, penulis hendaklah bijak dalam memilih perkataan dan menguunakan struktur ayat yang ringkas dalam penulisan blog agar pembaca lebih mudah untuk memahami setiap mesej yang hendak disampaikan. Setiap huraian yang diberikan hendaklah mempunyai hujah yang terbaik dan penulis hendaklah mengaitkan dengan berita terkini. Hal ini kerana ini merupakan salah satu cara pendekatan yang boleh dilakukan agar pembaca lebih gemar membaca penulisan yang ditulis kerana bukanlah hanya sekadar humor atau lawak jenaka sahaja tetapi ia juga mengandungi fakta.  Justeru itu, penulis blog hendaklah berhati-hati semasa menulis dan sentiasa memikirkan sensitiviti orang lain (Normaliza Abd Rahim, 2014). 

               Seterusnya etika penulisan blog yang ketiga ialah memasukkan moral dan nilai estetika dalam setiap penulisan. Perkara ini sangat perlu dalam setiap penulisan kerana penulisan yang baik adalah penulisan yang bebas daripada unsur-unsur negatif. Setiap penulisan yang ditulis hendaklah dapat memberikan manfaat kepada pembaca, memberi nilai-nilai pengajaran kepada pembaca dan yang lebih penting sekali adalah mampu mempengaruhi pembaca melakukan kebaikan sejajar dengan tuntutan agama. Ini kerana setiap penulisan yang ditulis adalah berdasarkan pengalaman penulis itu sendiri dan daripada pengalaman penulis itu sendiri mampu menjadi pengajaran kepada pembaca kelak. Tambahan lagi, seorang penulis yang baik hendaklah mempunyai disiplin yang baik dan kreatif dalam penyampaian dalam penulisan. Ini kerana setiap perkataan yang digunakan mempunyai nilai estetika atau nilai keindahan yang tersendiri. Keindahan pemilihan kata yang digunakan mampu mancuit hati pembaca dan secara tidak langsung mesej yang hendak disampaikan tercapai. 

Kesimpulannya, penulisan blog yang baik ini bukanlah sesuatu yang susah kerana jika kita memenuhi etika penulisan blog yang baik seperti yang disenaraikan di atas, maka terhasillah satu penulisan yang sempurna dan mampu memberi manfaat kepada pembaca. Oleh hal yang demikian, setiap penulisan yang ditulis menjadi satu wadah interaktif anatara pembaca dan penulis yang berkesan.

Sekian, Terima Kasih.

No comments:

Post a Comment